HULU SELANGOR: Kehadiran dan komitmen jentera parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bagi memenangkan calon yang dipertaruhkan, jelas membuktikan keutuhan kerajaan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia sekali gus mengenepikan tohmahan pihak tertentu bahawa hubungan parti dalam Kerajaan Perpaduan berpecah-belah dan tidak saling membantu dalam PRK berkenaan.

"Malam ini terbukti, mereka ini berkumpul sebenarnya daripada pelbagai parti yang ada dan kita harap ini berterusan malah matlamat kita semua dalam gabungan juga jelas untuk memenangkan calon daripada Kerajaan Perpaduan dan kita lihat momentum sokongan itu semakin baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perpaduan Sempena Hari Pekerja di Rasa, Batang Kali, yang turut hadir Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan, malam tadi.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dalam masa sama yakin masyarakat India di Kuala Kubu Baharu tidak mudah terpedaya dengan dakyah mana-mana pihak yang menyeru pengundi India memboikot dan merosakkan undi dalam PRK itu.

Sementara itu, Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang menasihatkan pengundi supaya membuat pilihan yang baik dengan memilih calon yang seiring dengan aspirasi kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Jangan kerana nak lepas geram, pengundi semua menggadaikan masa depan anda semua. Yakin pada calon kita, walaupun ada yang kata dia tiada pengalaman tapi jangan risau kita ada senarai pemimpin berpengalaman dalam parti dan Kerajaan Perpaduan yang sedia membantu," katanya.

PRK KKB menyaksikan calon mewakili Kerajaan Perpaduan yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao ditentang tiga pencabarnya iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari mengundi manakala pengundian awal pada 7 Mei ini.

- BERNAMA